
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia pada 2025 diyakini berupaya menjadi penampan kepada ketidaktentuan ekonomi global.
- Momentum ekonomi positif dijangka menyokong pertumbuhan suku pertama tahun ini.
- Malaysia perlu membina sistem kewangan lebih berdaya tahan bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik.
- Kerajaan melaksanakan pembaharuan fiskal dan pendigitalan percukaian serta meneroka inovasi kewangan digital serantau.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yakin, momentum positif itu dijangka turut menyokong pertumbuhan suku pertama tahun ini.
“Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengatasi jangkaan kami sendiri. Permintaan domestik kekal kukuh manakala pelaburan terus meningkat, dipacu projek infrastruktur berbilang tahun.
”Pada masa sama, defisit fiskal semakin mengecil ke arah sasaran tiga peratus di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal, dengan ringgit menunjukkan pengukuhan yang ketara,” katanya selepas Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN Ke-2 2026.
Malaysia juga ketika ini, memantau rapat perkembangan di Asia Barat dan sedia mengambil langkah sewajarnya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, Malaysia perlu membina sistem kewangan yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang semakin meningkat.
Dalam persekitaran geoekonomi baharu, institusi kewangan tidak lagi sekadar menjadi perantara neutral tetapi berupaya menyerap kejutan ekonomi.
“Serangan balas di seluruh rantau teluk menunjukkan krisis ini tidak lagi terbatas, sebaliknya telah berkembang menjadi konflik serantau dengan implikasi global.
“Bagi sektor kewangan, kesannya adalah nyata dan segera kerana kenaikan harga tenaga akan memberi tekanan kepada inflasi, kos pinjaman serta penilaian risiko kredit oleh bank,” katanya.
Jelasnya, kerajaan MADANI telah melaksanakan pembaharuan fiskal termasuk peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar serta pendigitalan sistem percukaian melalui e-invois bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan ekonomi.
Malaysia juga sedang memposisikan diri sebagai hab kewangan digital serantau dengan meneroka inovasi seperti pembayaran digital rentas sempadan dan teknologi kewangan di bawah rangka kerja kawal selia Bank Negara Malaysia.