MATRADE lantik MIFF rakan strategik, sasar lonjakan eksport perabot

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof/ Foto FB Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Di sebalik ketidaktentuan geopolitik global dan tekanan tarif antarabangsa, Malaysia mengambil langkah strategik memperkukuh kedudukan industri perabot negara sebagai pemain eksport utama melalui kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysian International Furniture Fair (MIFF).

RINGKASAN BERITA AI
  • MATRADE dilantik Rakan Dagangan Antarabangsa MIFF 2026 untuk kukuhkan MIFF sebagai hab eksport perabot Malaysia.
  • Fokus kepada pengukuhan pasaran AS dan pelbagaikan eksport ke FTA serta pasaran baharu seperti India, Arab Saudi, Afrika.
  • MATRADE komited sokong pengeksport tempatan, termasuk PMKS, melalui pejabat luar negara dan program pembangunan eksport.

Kerjasama itu menyaksikan MATRADE dilantik sebagai Rakan Dagangan Antarabangsa MIFF 2026, sekali gus memperkukuh peranan MIFF sebagai hab eksport global bagi industri perabot Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof, berkata langkah berkenaan selari dengan usaha kerajaan memastikan daya tahan perdagangan negara, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global termasuk pengumuman tarif import Amerika Syarikat pada April 2025.

“Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh dengan mencatat nilai tertinggi dalam sejarah pada 2025, apabila jumlah perdagangan meningkat 6.3 peratus kepada RM3.06 trilion, disokong pertumbuhan eksport sebanyak RM1.61 trilion,” katanya pada sidang media pengumuman kerjasama MATRADE–MIFF di MITEC, hari ini.

Menurut beliau, sektor perabot kekal sebagai antara penyumbang penting eksport negara, dengan hampir 50 peratus eksport perabot Malaysia tertumpu ke pasaran Amerika Syarikat (AS). Walaupun berdepan persaingan sengit, eksport perabot Malaysia ke AS masih mencatat pertumbuhan 1.6 peratus pada 2025 kepada RM6.15 bilion, dipacu peningkatan eksport perabot kayu dan komponen perabot.

Abu Bakar berkata Amerika Syarikat kekal sebagai pengimport bersih perabot terbesar dunia, dengan defisit perdagangan mencecah USD44.02 bilion antara Januari hingga Oktober 2025, sekali gus membuka peluang strategik kepada Malaysia untuk muncul sebagai sumber alternatif bekalan.

“Ketika ini, pasaran AS dikuasai Vietnam dan China, manakala Malaysia berada di kedudukan keenam dengan pegangan pasaran 2.8 peratus. Ini menunjukkan masih ada ruang besar untuk pengeksport tempatan meningkatkan kehadiran mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan mempelbagaikan pasaran eksport, khususnya ke negara Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta pasaran baharu seperti India, Arab Saudi dan Afrika, yang mencatat pertumbuhan eksport perabot dua angka sepanjang 2025.

Mengulas peranan MIFF, Abu Bakar berkata pameran itu kini berfungsi sebagai penanda aras global industri perabot, dengan MIFF 2025 merekodkan USD1.31 bilion nilai pesanan di lokasi serta menarik 54 peratus pelawat antarabangsa kali pertama.

“Menjelang edisi ke-32 pada 2026, kerjasama ini bertujuan menukar minat kepada transaksi sebenar, dan hubungan perniagaan kepada kehadiran pasaran jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen MATRADE untuk terus menyokong pengeksport tempatan, termasuk PMKS, melalui rangkaian 47 pejabat di seluruh dunia serta pelbagai program pembangunan eksport bersasar.