MATRADE galak syarikat OGSE pelbagaikan pasaran eksport, hadapi ketidaktentuan global

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 9 Mac– Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang mempergiat usaha untuk membantu syarikat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan mempelbagaikan destinasi eksport.

RINGKASAN BERITA AI
  • MATRADE galakkan pengeksport teroka pasaran baharu seperti Asia, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin untuk kurangkan risiko kebergantungan dan sokong pertumbuhan jangka panjang.
  • Kepelbagaian pasaran penting disebabkan perubahan besar rantaian bekalan global; syarikat perlu menyesuaikan dan memperkukuh keupayaan teknologi.
  • Program seperti MTCDP dan penyertaan pameran industri utama berikan pendedahan strategik, padanan perniagaan dan akses kepada pembeli antarabangsa.

MATRADE dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan daya tahan terhadap ketidaktentuan global serta perubahan landskap rantaian bekalan antarabangsa.

”MATRADE aktif menyokong pengeksport Malaysia meneroka pasaran baharu dan sedang pesat berkembang merentasi Asia, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin.”

”Pendekatan ini dapat mengurangkan risiko kebergantungan kepada pasaran khusus, selain memastikan pertumbuhan eksport jangka panjang,” jelas MATRADE dalam kenyataan.

Sektor minyak dan gas kekal antara tonggak utama ekonomi negara dengan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2025, produk petroleum mencatat nilai eksport sebanyak RM103.55 bilion atau 6.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala gas asli cecair (LNG) dan minyak mentah menyumbang tambahan RM71.05 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata kepelbagaian pasaran kini semakin penting bagi pengeksport Malaysia dalam menghadapi persekitaran perdagangan global yang semakin kompleks.

“Rantaian bekalan global sedang mengalami perubahan besar dan syarikat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan pasaran eksport serta memperkukuh keupayaan teknologi masing-masing.”

”Melalui program seperti Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) serta penyertaan dalam pameran industri global utama, MATRADE menyediakan pendedahan strategik, peluang padanan perniagaan dan akses kepada pembeli antarabangsa kepada syarikat tempatan,” katanya dalam kenyataan itu.