Malaysia perlu manfaatkan pelaburan pusat data

Pelbagai dasar ekonomi digital meningkatkan keyakinan pelabur menjadikan Malaysia hub strategik pembangunan pusat data

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kemajuan pesat pelaburan Google sebanyak AS$2 bilion bagi pembangunan pusat data dan perkhidmatan awan di Malaysia, mencerminkan keupayaan negara dalam ekosistem ekonomi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan Google AS$2 bilion menunjukkan infrastruktur digital Malaysia kukuh termasuk gentian optik dan 5G.
  • Dasar ekonomi digital kerajaan meningkatkan keyakinan pelabur menjadikan Malaysia hub pusat data strategik.
  • Manfaat ekonomi pusat data perlu diperluas dengan membangunkan ekonomi data dan keupayaan pemprosesan data.
  • Pelaburan dijangka menjana kesan ekonomi besar dan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan menjelang 2030.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Dr. Abu Sufian Abu Bakar berkata, pelaburan berskala besar itu memberi isyarat bahawa Malaysia kini mempunyai infrastruktur digital yang kukuh termasuk rangkaian internet berkelajuan tinggi, gentian optik serta pembangunan teknologi 5G.

Menurut beliau, pelbagai dasar ekonomi digital yang diperkenalkan kerajaan turut meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai hub strategik pembangunan pusat data.

“Tenaga buruh kita mempunyai kemahiran ke arah itu, termasuk polisi dan dasar yang kita telah buat selama ini.

”Dalam tempoh dua ke tiga tahun lepas ada banyak dasar berkaitan ekonomi digital yang telah kerajaan bangunkan dan ia memberi signal kepada pelabur bahawa pelaburan mereka terjamin di Malaysia,” katanya selepas menjadi tetamu Biz Malaysia.

Bagaimanapun katanya, manfaat ekonomi daripada pusat data tidak terhad kepada pelaburan fizikal.

Sebaliknya negara perlu membangunkan ekonomi data, iaitu keupayaan mengumpul, memproses dan memanfaatkan data bagi menghasilkan inovasi serta produk baharu bernilai tinggi.

Langkah itu katanya penting supaya Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi pusat data, tetapi menjadi pemain utama dalam pembangunan ekonomi data serantau.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan strategik Google di Malaysia dijangka memberikan kesan ekonomi sehingga AS$3.2 bilion dan membuka 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Pada 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan berjumlah AS$2 bilion di Malaysia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan wilayah Google Cloud untuk memenuhi permintaan meningkat terhadap perkhidmatan awan.