Malaysia berpotensi jadi pemain global pembangunan cip semikonduktor dan AI

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Malaysia menunjukkan potensi untuk memperkukuh kedudukannya dalam kelompok pemain global bagi pembangunan reka bentuk cip semikonduktor termasuk cip kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Beralih daripada aktiviti hiliran (pemasangan dan pengujian) kepada pembangunan IC design dan cip berteknologi tinggi.
  • Keupayaan menghasilkan cip 3 atau 4 nanometer dianggap pencapaian besar; kurang daripada lima negara mampu.
  • Setiap projek cip memerlukan sekitar 400 hingga 500 jurutera dan 24 hingga 36 bulan pembangunan, menandakan tugas kompleks.
  • Pembangunan bakat dan pelaburan agresif diutamakan; NSS mensasarkan melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Yong Kai Ping berkata negara kini sedang bergerak daripada aktiviti hiliran semikonduktor yang merangkumi pemasangan dan pengujian cip kepada pembangunan IC design dan cip berteknologi tinggi.

“Semua negara kini bergerak ke arah teknologi 3 nanometer dan 4 nanometer untuk pelbagai kegunaan industri. Pada masa ini, teknologi 2 nanometer serta 1.8 dan 1.4 nanometer merupakan pencapaian paling terkini dan bertaraf tinggi dalam industri semikonduktor.

”Jika Malaysia mampu menghasilkan cip pada tahap 3 atau 4 nanometer, ia merupakan satu pencapaian besar kerana hanya kurang daripada lima negara di dunia yang mampu menghasilkan atau mereka bentuk seni bina seperti itu,” katanya kepada RTM.

Jelasnya, setiap projek pembangunan cip memerlukan sekitar 400 hingga 500 jurutera dengan tempoh pembangunan antara 24 hingga 36 bulan, sekali gus menjadikannya satu tugas yang besar dan kompleks.

Beliau berkata, pembangunan bakat serta pelaburan lebih agresif dalam teknologi baharu menjadi keutamaan bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam industri semikonduktor global.

Bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Malaysia mensasarkan untuk melatih dan melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor menjelang tahun 2030.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.