
SEPANG, 7 Mac– Syarikat penerbangan Jerman,Lufthansa akan menyambung semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Frankfurt bermula hujung Oktober tahun ini selepas hampir sedekad tidak beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
- Lufthansa akan mengendalikan lima penerbangan seminggu menggunakan Boeing 787-9 Dreamliner dengan 287 tempat duduk kelas premium dan ekonomi.
- Langkah ini mencerminkan permintaan semakin meningkat terhadap penerbangan terus antara Malaysia dan Eropah.
- Melalui hab Frankfurt, Lufthansa menyediakan sambungan ke beberapa destinasi Eropah utama dan menambah kapasiti kargo untuk sokong perdagangan.
Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan, Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan lima penerbangan seminggu menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang menawarkan 287 tempat duduk merangkumi kabin premium dan ekonomi.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata penyambungan semula perkhidmatan itu mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penerbangan terus antara Malaysia dan Eropah.
Beliau berkata langkah itu juga mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan serantau, dengan lapangan terbang berkenaan kini menempatkan 71 syarikat penerbangan yang menghubungkan penumpang ke 143 destinasi di seluruh dunia.
Selain itu, melalui hab Frankfurt, Lufthansa turut menyediakan sambungan ke beberapa destinasi utama di Eropah termasuk Switzerland, Austria, Belgium, Itali dan Eropah Timur serta menambah kapasiti kargo bagi menyokong aliran perdagangan antara Malaysia dan Eropah.