
KUALA LUMPUR, 27 Mac -Lima negeri mendominasi eksport Malaysia pada Februari lalu, menyumbang 88.1 peratus daripada eksport keseluruhan berjumlah RM131.0 bilion.
- Pulau Pinang kekal negeri pengeksport utama, menyumbang 47.1 peratus daripada eksport negara.
- Eksport Februari meningkat RM12.7 bilion atau 10.8 peratus tahun ke tahun.
- Nilai eksport menurun di beberapa negeri termasuk Selangor, Sarawak, Melaka dan Sabah.
- Import meningkat 8.2 peratus, Pulau Pinang menguasai import dengan sumbangan 29.3 peratus.
Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama dengan menyumbang 47.1 peratus, diikuti Johor (17.7%), Selangor (13.8%), Sarawak (5.9%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.6%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport pada bulan lalu mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak RM12.7 bilion bersamaan 10.8 peratus.
”Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang sebanyak RM21.2 bilion, W.P. Kuala Lumpur (RM198.1 juta) dan Perak (RM108.1 juta).
”Bagaimanapun, nilai eksport menurun di beberapa negeri antaranya Selangor sebanyak RM3.4 bilion, Sarawak (RM1.1 bilion), Melaka (RM928.2 juta) dan Sabah (RM743.7 juta),” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, prestasi import pada bulan sama meningkat 8.2 peratus kepada RM8.6 bilion berbanding tempoh sama tahun 2025.
Jelas Datuk Sri Dr. Mohd Uzir, Pulau Pinang terus menguasai import Malaysia dengan sumbangan 29.3 peratus, diikuti oleh Selangor (23.5%), Johor (21.7%), W.P. Kuala Lumpur (8.4%) dan Kedah (5.4%).
”Iimport lebih tinggi direkodkan di kebanyakan negeri termasuk Pulau Pinang berjumlah RM9.3 bilion, Kedah (RM1.2 bilion), W.P.Kuala Lumpur (RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (RM255.4 juta) dan W.P.Labuan (RM140.4 juta).
”Sebaliknya, nilai import menurun di Melaka sebanyak RM1.1 bilion, Sarawak (RM645.3 juta), Selangor (RM519.8 juta), Pahang (RM472.2 juta), Sabah (RM66.0 juta), Johor (RM51.4 juta) dan Kelantan (RM25.5 juta).