Lebih 170 inisiatif RMK12 pacu momentum pertumbuhan ekonomi negara

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Kejayaan pelaksanaan lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) antara penyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 170 inisiatif RMK12 berjaya dilaksanakan, menyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi negara.
  • Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.9 peratus bagi 2025, melebihi julat unjuran rasmi.
  • Peningkatan permintaan domestik, perkhidmatan dan pembuatan memacu lonjakan aktiviti ekonomi.
  • Program bantuan tunai bersasar seperti SARA dan STR mengukuhkan perbelanjaan isi rumah dan sokong pertumbuhan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun berhadapan pelbagai cabaran global dan persekitaran luaran yang tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.9 peratus bagi tahun 2025, melebihi unjuran rasmi antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.

”Lonjakan aktiviti ekonomi pada tiga bulan terakhir 2025 memperlihatkan rentak pertumbuhan yang semakin rancak, didorong terutamanya oleh pengukuhan permintaan domestik, di samping
peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

”Pencapaian itu juga membuktikan keberkesanan hala tuju dan strategi Ekonomi MADANI dalam mendepani ketidaktentuan cabaran global serta menstruktur semula ekonomi dan mengekalkan permintaan domestik yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, pertumbuhan ekonomi ini turut mencerminkan kesan pelaksanaan program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang telah mendorong kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah.

“Ini merupakan momentum positif bagi mencerminkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing.

“Tahun 2026 adalah permulaan fasa pelaksanaan RMK13 dan Kementerian Ekonomi komited dalam memastikan setiap inisiatif ini dapat diterjemah kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan yakin negara di landasan tepat untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI melalui RMK13 dengan tema Melakar Semula Pembangunan dan seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.