
PUTRAJAYA, 12 Mac– Keputusan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI95 dilihat membantu rakyat dalam jangka pendek, namun berdepan cabaran sekiranya krisis geopolitik global berpanjangan.
- Konflik di Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan tenaga global, terutama laluan strategik seperti Selat Hormuz.
- Pengurangan penawaran minyak dan gas telah meningkatkan harga minyak mentah serta gas secara ketara, dianggarkan sekitar 40 peratus.
- Subsidi RON95 beri kelegaan jangka pendek, tetapi ketahanan dasar terbatas jika konflik berlanjutan kerana kos subsidi meningkat.
- Malaysia juga mengimport minyak mentah untuk produk hiliran, menambah tekanan kos dan menjejaskan pengeluaran serta pengguna isi rumah.
Menurut Pengerusi Khazanah Research Institute, Nungsari Ahmad Radhi, konflik yang berterusan di Asia Barat khususnya melibatkan Iran dan kawasan sekitarnya, memberi kesan besar kepada rantaian bekalan tenaga dunia.
Ketegangan di rantau itu turut menjejaskan laluan strategik perdagangan tenaga global seperti Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak mentah dan gas asli.
“Krisis di Iran dan Asia Barat ini adalah krisis yang serius dan kita masih belum tahu berapa lama ia akan berlarutan.”
“Apa yang kita lihat, krisis ini menjejaskan laluan perkapalan di Teluk Parsi dan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran gas asli dan minyak mentah.”
“Keadaan ini telah mengurangkan penawaran kedua-dua bahan bakar tersebut dan seterusnya meningkatkan harga minyak mentah serta gas secara ketara, dianggarkan sekitar 40 peratus,”ujarnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kemungkinan harga tenaga kekal tinggi sekiranya konflik tersebut berlanjutan.
“Kita sedar keputusan kerajaan untuk mengekalkan subsidi RON95 memberi kelegaan kepada rakyat. Namun, saya tidak pasti sejauh mana langkah ini boleh bertahan sekiranya krisis ini berterusan, kerana ia memerlukan perbelanjaan yang lebih besar untuk mengekalkan harga pada RM1.99 seperti sekarang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Malaysia juga berdepan tekanan kos memandangkan negara bukan sahaja pengeksport petroleum, malah turut mengimport minyak mentah untuk menghasilkan produk petroleum hiliran.
“Kita perlu sedar bahawa Malaysia juga merupakan pengimport minyak mentah, bukan sekadar pengeksport. Oleh itu, kita turut berdepan tekanan harga untuk mengimport minyak mentah bagi menghasilkan produk-produk hiliran. Keadaan ini memberi kesan secara langsung bukan sahaja kepada pengeluaran, tetapi juga kepada penggunaan isi rumah.”