Konflik di Asia Barat : Kos logistik, rantaian bekalan pengilang dijangka meningkat

Presiden Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok /RTM

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Sektor pembuatan global dijangka berdepan kesan kenaikan kos tenaga, bahan mentah serta logistik antarabangsa, susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mungkin terkesan secara tidak langsung melalui peningkatan kos pengangkutan dan input pengeluaran jika harga minyak global meningkat.
  • Sektor perkapalan kontena antara paling terjejas oleh perubahan laluan dan caj risiko tambahan yang mengehadkan ruang penghantaran.
  • Aliran pesanan eksport berisiko terganggu apabila pembeli di AS, Eropah dan Asia Barat menangguh atau semak jadual penghantaran.
  • Pengilang Malaysia, khususnya E&E, jentera, produk logam dan pengguna, berdepan cabaran perancangan pengeluaran dan aliran tunai.

Presiden Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berpandangan, Malaysia juga berpotensi merasai kesan tidak langsung.

“Walaupun kesannya tidak berlaku serta-merta terhadap industri tempatan, dijangkakan akan berlaku juga peningkatan kos pengangkutan serta kos input pengeluaran sekiranya harga minyak global meningkat secara berterusan.

“Sektor perkapalan kontena global antara paling terkesan dengan perubahan laluan dan caj risiko tambahan yang mengehadkan ruang penghantaran, sekali gus meningkatkan kos logistik antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpendapat aliran pesanan eksport turut berisiko terganggu apabila pembeli di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat menangguhkan pesanan atau menyemak semula jadual penghantaran.

“Situasi itu boleh memberi kesan terhadap pengilang Malaysia khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), jentera, produk logam serta barangan pengguna dari segi perancangan pengeluaran dan aliran tunai,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau percaya pengalaman Malaysia, dalam mengurus pelbagai ‘kejutan global’ sebelum ini termasuk ketika pandemik dan krisis logistik antarabangsa berupaya mengurangkan impak ketara terhadap sektor pembuatan.