Konflik Asia Barat: Malaysia kekal berdaya tahan, sokongan domestik jadi kunci

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Mac Malaysia kekal optimistik walaupun berdepan ketidaktentuan akibat konflik Asia Barat, khususnya sebagai negara pengeluar minyak dengan bekalan semasa mencukupi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan proaktif menyesuaikan strategi eksport melalui MATRADE, meneroka pasaran baharu untuk mengurangkan impak konflik terhadap eksport.
  • Penekanan kebajikan menerusi Ekonomi MADANI dan program BUDI95, STR serta BKK membantu memastikan bekalan asas dan kurangkan kos sara hidup.
  • Sokongan kepada produk tempatan dan perbelanjaan berhemah disarankan untuk kestabilan pasaran domestik serta mengurangkan kos logistik.

Penolong Profesor Politik Ekonomi (CHINA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Lee Pei May berkata, langkah proaktif kerajaan membantu memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan, meskipun langkah penjimatan tenaga mula dipertimbangkan sebagai persediaan menghadapi sebarang kejutan.

Beliau menjelaskan, walaupn konflik berkenaan memberi kesan kepada eksport Malaysia ke Asia Barat, khususnya komoditi seperti minyak sawit dan produk agrikultur, namun kerajaan berusaha meneroka pasaran baharu bagi mengurangkan impak tersebut.

“Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertindak cepat menyesuaikan strategi eksport Malaysia dengan mencari pasaran baru seperti Kazakhstan, Tumenistan dan beberapa ekonomi Afrika. Tindakan proaktif kerajaan ini membantu memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan,” katanya kepada RTM.

Kerajaan juga menekankan kebajikan rakyat sebagai keutamaan selaras kerangka Ekonomi MADANI, termasuk memastikan bekalan barangan asas mencukupi serta mengurangkan tekanan kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif seperti BUDI95, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), serta bantuan khas kewangan (BKK) bagi penjawat awam dan golongan terjejas.

Sehubungan itu, Dr. Lee menyarankan sokongan terhadap produk tempatan sebagai langkah praktikal membantu rakyat mengurus tekanan kos, selain menasihati orang ramai kekal tenang dan berbelanja secara berhemah bagi memastikan kestabilan pasaran domestik.

“Dalam situasi ini, sokongan kepada produk tempatan atau buy local boleh membantu mengurangkan tekanan kos logistik dan pada masa sama menyokong ekonomi domestik serta mengurus kenaikan kos sara hidup,” jelasnya.