
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Konflik yang berterusan di rantau Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak perniagaan antarabangsa, khususnya apabila berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan dan penghantaran barangan.
- Gangguan akibat konflik boleh menaikkan kos, menyulitkan bekalan dan mungkin menjadikan pelaksanaan kontrak mustahil.
- Klausa force majeure penting; ia tidak automatik dan mesti dinyatakan jelas serta disertai notis rasmi dalam tempoh tertentu.
- Syarikat perlu bertindak proaktif, mencari alternatif dan memberi makluman awal untuk mengurangkan risiko kerugian.
Peguam komersial dan sukan, Nik Erman Nik Roseli berkata gangguan tersebut boleh berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung dan akhirnya memberi tekanan kepada operasi perniagaan, termasuk peningkatan kos serta kesukaran mendapatkan bekalan.
“Gangguan yang bakal berlaku secara langsung ataupun tidak langsung kepada bisnes dalam perniagaan di Malaysia adalah kos harga akan naik, kesukaran mendapat bekalan dan perkara-perkara itu akan menyusahkan ataupun pada satu tahap dia akan membuatkan pelaksanaan kontrak itu mustahil,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia ketika ditemui di Angkasapuri.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan klausa “force majeure”, iaitu peruntukan dalam kontrak yang membolehkan pihak terlibat dikecualikan daripada tanggungjawab sekiranya berlaku keadaan luar jangka seperti konflik atau bencana.
Menurutnya, klausa tersebut tidak boleh digunakan secara automatik sekiranya tidak dinyatakan secara jelas dalam kontrak, selain biasanya memerlukan notis rasmi kepada pihak satu lagi dalam tempoh tertentu.
Dalam pada itu, Nik Erman Nik Roseli berkata syarikat tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat dalam situasi krisis yang boleh menjejaskan perdagangan antarabangsa.
“Dalam perkara ini perniagaan perlu mengambil langkah proaktif, maksudnya jangan tunggu sehingga ada masalah atau saman. Jika kita sudah boleh jangka konflik ini menjejaskan perniagaan atau kontrak, syarikat perlu cari alternatif lain dan maklumkan lebih awal supaya risiko kerugian dapat dikurangkan,” tegasnya.