Ketidaktentuan ekonomi global tuntut kerajaan lebih selektif urus subsidi

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat menuntut kerajaan merancang perbelanjaan secara lebih teliti serta bersifat selektif, khususnya dalam pengurusan subsidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perlu menilai semula mekanisme subsidi bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal terkawal.
  • Konflik menjejaskan rantaian bekalan makanan dan meningkatkan risiko tekanan inflasi jika berpanjangan.
  • Rakyat disaran urus perbelanjaan, utamakan barangan tempatan dan manfaatkan SARA secara berhemah.

Felo Penyelidik Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar Universiti Malaysia Sabah, Izaan Azyan Abdul Jamil berkata situasi semasa boleh menjadi petunjuk awal bahawa kerajaan mungkin perlu menilai semula beberapa mekanisme subsidi bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal terkawal.

Menurut beliau, konflik yang berlarutan juga berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan global.

Bagaimanapun katanya, kekuatan nilai ringgit ketika ini memberi sedikit ruang kepada kerajaan untuk mengurus kos import dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Azizul Amiludin berpandangan konflik geopolitik berkenaan turut menguji tahap ketahanan rangkaian bekalan serta keterjaminan makanan negara.

Namun beliau berkata Malaysia masih mempunyai kelebihan melalui hubungan perdagangan serantau yang kukuh dan tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari Timur Tengah atau Eropah.

Azizul turut menjangkakan sekiranya konflik berpanjangan, tekanan inflasi sukar dielakkan.

Sehubungan itu, rakyat disaran lebih bijak mengurus perbelanjaan, termasuk mengutamakan barangan tempatan serta memanfaatkan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara berhemah, khususnya menjelang musim perayaan.