
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Kadar antara bank jangka pendek dijangka terus stabil pada minggu hadapan, disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang berterusan untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
- Bank Negara terus menjalankan operasi harian untuk menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.
- Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil pada minggu hadapan.
- Lebihan mudah tunai sistem konvensional meningkat sedikit berbanding minggu sebelumnya.
- Lebihan mudah tunai sistem Islam turut meningkat, manakala MYOR-i berada pada 2.75 peratus.
Minggu ini, bank pusat itu menjalankan operasi setiap hari melalui repo berbalik dan tender repo berbalik Islam untuk mengurangkan lebihan dana dalam sistem kewangan..
Pada asas mingguan, lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM30.80 bilion pada Jumaat berbanding RM30.10 bilion yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya.
Manakala, lebihan mudah tunai dalam sistem Islam menokok kepada RM19.40 bilion daripada RM18.0 bilion.
Setakat 26 Februari 2026, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.75 peratus.- BERNAMA