IP Disember cecah 114 mata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan

Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh ekonomi baharu yang progresif serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026. Foto hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 25 FEB – Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan untuk tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan peningkatan Indeks Pelopor (IP) Disember 2025,sebanyak 0.1 peratus kepada 114.0 mata berbanding 113.9 mata dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan IP Disember 2025 kepada 114.0 mata menunjukkan kecairan kewangan domestik stabil dan permintaan berterusan bagi komponen elektronik.
  • Indeks Serentak kekal positif dengan pertumbuhan tahunan 2.1% dipacu oleh sumbangan besar nilai caruman KWSP.
  • Ekonomi dijangka kekal berdaya tahan disokong ekonomi baharu yang progresif dan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata, prestasi diperkukuh oleh peningkatan dalam Penawaran Wang Benar M1 sebanyak 7.3 peratus dan Import Benar Semi Konduktor sebanyak 4.8 peratus.

”Peningkatan ini mencerminkan kecairan kewangan domestik yang stabil serta permintaan berterusan terhadap komponen elektronik.

”Dari perspektif bulanan, IP turut mencatatkan peningkatan 0.5 peratus disokong oleh pertumbuhan dalam Penawaran Wang Benar M1 sebanyak 0.5 peratus serta peningkatan 0.4 dalam Jangkaan Nilai Jualan dalam Pembuatan,” menurut kenyataan itu.

Meneliti trend arah aliran jangka panjang pada Disember 2025, IP kekal di bawah 100.0 mata.

Namun, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh ekonomi baharu yang progresif serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka merangsang perniagaan tempatan, sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi lain secara tidak langsung.

Dalam menilai keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum positifnya dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan 2.1 peratus kepada 129.3 mata berbanding 126.6 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.

”Prestasi ini dipacu oleh peningkatan yang konsisten merentasi semua komponen dengan Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 9.6 peratus sebagai penyumbang terbesar.

”Bagaimanapun, prestasi bulanan IS mencatatkan marginal negatif 0.02 peratus, disebabkan oleh penyusutan Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, yang kedua-duanya mencatatkan negatif 0.1 peratus,” katanya.