Industri perabot perluas pasaran ke Chile

Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Industri perabot Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global dengan memperluas pasaran ke negara berpotensi tinggi seperti Chile, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

RINGKASAN BERITA AI
  • MATRADE menggesa pengeluar perabot Malaysia menyasarkan pasaran berkembang seperti Chile dengan menonjolkan amalan mampan dan reka bentuk berkualiti.
  • Chile dilihat sebagai pintu masuk ke pasaran Amerika Latin, import AS$898.5 juta pada 2025 menunjukkan peluang pertumbuhan.
  • Permintaan tertumpu pada set ruang makan dan ruang tamu serta peningkatan perabot pelbagai fungsi akibat urbanisasi dan ruang kediaman terhad.
  • Program eBizLink 2026 memudahkan pemadanan maya antara pengeksport Malaysia dan pembeli, pengedar, pereka serta peruncit di Chile.

Menerusi satu kenyataan, MATRADE memaklumkan langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempelbagaikan destinasi eksport serta bergerak ke segmen nilai yang lebih tinggi.

Menurutnya, pengeluar tempatan kini memanfaatkan perubahan dinamik perdagangan global serta trend permintaan baharu bagi mengukuhkan kedudukan dalam pasaran Chile yang sedang berkembang pesat.

“Seiring dengan perubahan laluan perdagangan, MATRADE menggesa pengeluar perabot Malaysia untuk menyasarkan pasaran berkembang seperti Chile secara strategik. Dengan mengetengahkan amalan mampan dan reka bentuk berkualiti tinggi, syarikat tempatan mampu membina kelebihan daya saing yang kukuh di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.

MATRADE menjelaskan, Chile dilihat sebagai pintu masuk utama ke pasaran perabot Amerika Latin, dengan nilai import mencecah AS$898.5 juta pada 2025, meningkat 8.16 peratus tahun ke tahun.

Dari segi trend pengguna, permintaan di Chile banyak tertumpu kepada set perabot ruang makan dan ruang tamu, selain peningkatan ketara bagi penyelesaian perabot pelbagai fungsi susulan urbanisasi dan ruang kediaman yang semakin terhad.

Dalam pada itu, MATRADE turut memperkenalkan Program eBizLink 2026 yang memudahkan pemadanan perniagaan secara maya antara pengeksport Malaysia dan pembeli, pengedar serta peruncit di Chile.

Inisiatif ini membuka peluang kepada pemain industri untuk berhubung dengan pengimport utama, pereka dalaman dan rangkaian peruncitan, termasuk di bandar pertumbuhan seperti Concepcion dan Antofagasta.

Ketika ini, Malaysia merupakan pembekal perabot ke-10 terbesar kepada Chile di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Kedudukan itu disokong oleh akses bebas tarif menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran berkenaan.