Industri insurans, takaful terbit panduan julat harga penjagaan kesihatan swasta

Panduan rujukan julat harga memberikan gambaran mengenai julat harga indikatif yang lazim dikenakan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan/foto hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Industri insurans dan takaful tempatan menerbitkan panduan rujukan julat harga bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang lazim ditawarkan di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panduan menunjukkan julat harga indikatif perkhidmatan penjagaan kesihatan berdasarkan data tuntutan 2024.
  • Tujuan panduan ialah membantu pengguna faham kos, rancang perbelanjaan dan berbincang lebih berinformasi dengan penyedia.
  • Langkah ini bertujuan tingkatkan ketelusan harga dan sokong pembiayaan kesihatan yang lebih mampan.
  • Julat harga bukan harga tetap; caj sebenar bergantung pada keadaan pesakit dan amalan penyedia kesihatan.

Panduan tersebut merupakan inisiatif bersama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) di bawah strategi penetapan semula Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS).

Dalam satu kenyataan bersama, persatuan terbabit memaklumkan panduan itu memberikan gambaran mengenai julat harga indikatif yang lazim dikenakan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, berdasarkan data tuntutan insurans dan takaful bagi tahun 2024.

Menurut kenyataan itu, panduan berkenaan berfungsi sebagai sumber maklumat untuk membantu pengguna memahami kos penjagaan kesihatan, menggalakkan perbincangan yang lebih berinformasi dengan penyedia perkhidmatan, serta membantu perancangan kos yang mungkin perlu ditanggung sendiri.

“Meningkatkan pemahaman awam mengenai caj penjagaan kesihatan dapat menyokong usaha pembiayaan kesihatan yang lebih mampan, meningkatkan ketelusan harga serta memperkasa pengguna dalam membuat keputusan,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, pihak industri menegaskan bahawa julat harga yang diterbitkan bukanlah harga tetap atau harga yang disyorkan, memandangkan caj sebenar boleh berbeza bergantung kepada keadaan pesakit, tahap kerumitan rawatan serta amalan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengakses dokumen panduan tersebut melalui laman sesawang persatuan-persatuan berkaitan.