
KUALA LUMPUR, 2 April – Usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penggambaran antarabangsa dilaksana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan Tourism Malaysia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
- Pembangunan konsep 'screen tourism' memanfaatkan lokasi penggambaran sebagai tarikan pelancongan.
- Contoh kejayaan global: drama Winter Sonata menjadikan Pulau Nami destinasi pelancongan ikonik.
- Inisiatif ini selari dengan sasaran 47 juta pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Insentif FIMI sejak 2013 menarik hampir RM2 bilion pelaburan dan limpahan ekonomi dianggarkan RM8 bilion.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada pembangunan konsep ‘screen tourism’ iaitu pendekatan yang memanfaatkan lokasi penggambaran sebagai tarikan pelancongan.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, model itu terbukti berjaya di peringkat global, antaranya menerusi drama popular Korea iaitu Winter Sonata yang berhasil mengangkat Pulau Nami sebagai destinasi pelancongan ikonik.
“Kolaborasi ini selari aspirasi negara untuk mencapai sasaran 47 juta pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan kerjasama tersebut bersifat saling menguntungkan.
“Industri perfileman bukan sahaja berperanan menarik pelaburan antarabangsa, malah menjadi medium promosi efektif untuk memperkenalkan keindahan Malaysia kepada dunia,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, sejak diperkenal pada 2013, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) berjaya menarik pelaburan hampir RM2 bilion daripada produksi tempatan dan antarabangsa.
Inisiatif itu juga menyumbang kepada limpahan ekonomi yang dianggarkan sekitar RM8 bilion, meliputi sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan.