Ekonomi Malaysia dijangka berdaya tahan pada 2026

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026 walaupun berdepan ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026 meskipun ketidaktentuan global.
  • Pertumbuhan diunjur antara 4.0 hingga 4.5 peratus, dengan penilaian pasaran 4.5 hingga 5.0 peratus.
  • Inflasi dijangka sederhana dan terkawal, sambil dasar monetari menyokong kestabilan harga.
  • Kerajaan menekankan kewaspadaan terhadap risiko geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan volatiliti pasaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata, berdasarkan unjuran rasmi, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2026, disokong permintaan domestik stabil serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

“Bagaimanapun, penilaian pasaran semasa mengunjurkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2026.

“Ia mencerminkan pengukuhan permintaan domestik serta momentum pelaburan yang berterusan, selaras dengan jangkaan kementerian dan institusi antarabangsa,” katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Majlis Gala Ulang Tahun Ke-50 AFFIN di ibu negara.

Dalam pada itu beliau turut memklumkan bahawa inflasi dijangka kekal sederhana dan terkawal selari objektif dasar monetari.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan pendirian dasar yang menyokong pertumbuhan sambil memelihara kestabilan harga serta kekukuhan sistem kewangan.

Namun, kerajaan menegaskan keperluan untuk terus berwaspada memandangkan ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan global dan volatiliti pasaran kewangan yang memerlukan pengurusan risiko berdisiplin serta tadbir urus yang kukuh.