Datuk Abu Huraira dilantik Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif FGV

Pengalaman Datuk Abu Huraira selama 50 tahun merentasi pelbagai sektor

KUALA LUMPUR, 2 Mac – FGV Holdings Bhd melantik Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memiliki pengalaman 50 tahun merentasi sektor kewangan, logistik, keselamatan sosial, minyak dan gas serta pembangunan tenaga kerja.
  • Berpengalaman luas dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan.
  • Sekarang memegang beberapa jawatan pengerusi termasuk PIDM, MISC Bhd dan HRDC.
  • Rekod kepimpinan dan tadbir urus dijangka membantu FGV dalam pertumbuhan dan transformasi dengan sokongan kerajaan.

Kenyataan FGV menyebut, Datuk Abu Huraira mempunyai pengalaman selama 50 tahun merentasi pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kewangan, logistik, keselamatan sosial, pemulihan, minyak dan gas, serta pembangunan tenaga kerja.

“Kepakaran luas dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan membolehkan beliau memegang jawatan kanan dalam institusi kewangan di Malaysia.

”Ketika ini, beliau merupakan Pengerusi di Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), MISC Bhd, Human Resource Development Corporation, AET Pte Ltd, dan Malaysian Maritime Academy Sdn Bhd,” menurut kenyataan itu.

Datuk Abu Huraira yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) dari Universiti Malaya, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pengerusi Pusat Rehabilitasi Perkeso Sdn Bhd serta Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Bhd.

“Pengalaman luas dan rekod prestasi beliau dalam kepimpinan korporat, tadbir urus dan libat urus pihak berkepentingan akan menjadi aset penting bagi membimbing FGV melalui fasa seterusnya pertumbuhan dan transformasi.

“Dengan sokongan berterusan Kerajaan Malaysia, kumpulan kekal komited untuk menyampaikan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu.