
KUALA LUMPUR, 6 Jun– Indeks penanda aras Bursa Malaysia dijangka menguji semula paras 1,700 mata dan diunjurkan dalam julat antara 1,710 hingga 1,715 pada minggu depan.
- Peningkatan selera risiko pelabur disokong penilaian menarik bagi beberapa saham mewah tempatan.
- Pelabur dijangka beralih daripada saham AI ke sektor defensif dan saham bermodal besar yang dinilai rendah di luar AS.
- Kemasukan semula pelabur asing dijangka, dan Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada pengagihan semula aliran modal global.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, unjuran itu disokong oleh peningkatan selera risiko pelabur serta penilaian yang masih menarik bagi beberapa saham mewah tempatan.
“Apabila sentimen terhadap kenaikan pasaran yang dipacu kecerdasan buatan (AI) mula reda, pelabur dijangka beralih kepada sektor yang lebih defensif dan saham bermodal besar yang masih dinilai rendah di luar pasaran Amerika Syarikat,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, pemulihan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dalam dua sesi dagangan terakhir minggu ini turut memberi petunjuk bahawa sentimen pasaran jangka pendek semakin stabil.
Menurutnya, pasaran tempatan juga berpotensi menyaksikan kemasukan semula pelabur asing selepas tiga minggu berturut-turut mencatatkan aliran keluar dana bersih.
“Walaupun data makroekonomi Amerika Syarikat yang lebih kukuh terus menyokong sentimen risiko global, penilaian pasaran ekuiti negara itu yang tinggi boleh mendorong pengurus dana mencari peluang di pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan nilai lebih menarik.
“Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada pengagihan semula aliran modal tersebut,” katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 10.36 mata kepada 1,693.43 mata daripada 1,683.07 mata yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.