Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi susulan prestasi positif Wall Street

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Bursa Malaysia dibuka lebih kukuh pada Selasa, menjejaki kenaikan semalaman di Wall Street apabila minat belian kembali ke atas saham teknologi susulan jualan besar-besaran dipacu saham kecerdasan buatan (AI) minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sentimen pasaran positif dipacu oleh kebangkitan semula minat belian saham teknologi selepas jualan besar-besaran minggu lepas.
  • FBM KLCI dibuka lebih tinggi dengan kaunter untung mengatasi rugi, menyokong suasana pasaran yang kukuh.
  • Aliran masuk pelabur asing kembali menyokong pasaran, selari dengan pemulihan minat terhadap pasaran Asia.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.90 mata atau 0.45 peratus kepada 1,759.20.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.16 mata lebih tinggi pada 1,755.46 berbanding paras penutup 1,751.30 pada Isnin.

Sentimen pasaran secara keseluruhan adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 213 berbanding 92, manakala 248 kaunter tidak berubah. Sebanyak 2,098 kaunter tidak diniagakan dan 11 kaunter digantung.

Jumlah dagangan mencatatkan 96.23 juta saham bernilai RM53.78 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen positif dari Wall Street dijangka memberi kesan limpahan kepada pasaran tempatan.

Ia berkata 99 Speed Mart Retail Holdings mencatat paras tertinggi baharu dalam tempoh 52 minggu susulan pelaksanaan program pengagihan tunai Sumbangan Asas Rahmah, yang turut berpotensi memberi manfaat kepada kaunter berprestasi lemah seperti Mr DIY Group dan Eco-Shop Marketing.

Firma pembrokeran itu berkata ia melihat CBH Engineering Holding akan meningkat semula, disokong oleh prospek projek pusat data yang kukuh serta nilai perolehan kontrak belum selesai bernilai RM530.5 juta.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan pada pembukaan dagangan adalah menyeluruh, diterajui oleh saham pembinaan, telekomunikasi, pengguna dan perindustrian yang meningkat sekitar satu peratus.

Begitu juga dengan pasaran Asia yang turut dibuka kebanyakannya lebih tinggi, sekali gus mengukuhkan latar belakang serantau yang positif, katanya.

“Selepas berlaku pengaliran keluar bersih dana asing lima hari berturut-turut, pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih pada Jumaat lepas dan sekali lagi semalam, menandakan peningkatan berhati-hati dalam selera risiko luar,” katanya.

“Kami melihat minat pelabur asing dijangka terus menyokong pasaran, sejajar dengan peralihan semula pelaburan oleh pelabur global ke arah pasaran Asia.”

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM12.12, CIMB menambah tujuh sen kepada RM8.62, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM14.16, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM8.95 dan Public Bank mengukuh dua sen kepada RM5.10.

Bagi kaunter paling aktif, MMAG Holdings, Velesto Energy dan Borneo Oil masing-masing meningkat setengah sen kepada lima sen, 31 sen dan satu sen. Elridge Energy Holdings naik satu sen kepada RM1.31 manakala Zetrix AI susut setengah sen kepada 80 sen.

Antara kaunter mencatat kenaikan tertinggi ialah Fraser & Neave Holdings yang melonjak 40 sen kepada RM33.40, Malaysian Pacific Industries naik 30 sen kepada RM31.88, United Plantations menambah 28 sen kepada RM30.10, Kuala Lumpur Kepong meningkat 20 sen kepada RM19.86 dan Petronas Gas naik 16 sen kepada RM18.66.

Kaunter mencatat penurunan utama termasuk Ajinomoto yang susut lapan sen kepada RM13.62, Westports Holdings turun lima sen kepada RM5.99, PGF Capital dan Plenitude masing-masing merosot empat sen kepada RM1.81 dan RM1.75, serta Sarawak Plantation susut tiga sen kepada RM3.42.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 56.42 mata kepada 12,672.64, Indeks FBM Emas naik 55.70 mata kepada 12,840.25, Indeks FBM Mid 70 menambah 76.06 mata kepada 17,566.45, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 51.04 mata kepada 12,285.76, dan Indeks FBM ACE naik 15.46 mata kepada 4,744.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 93.32 mata kepada 21,818.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.41 mata kepada 176.42, Indeks Perladangan meningkat 34.61 mata kepada 8,393.13 dan Indeks Tenaga menambah 2.53 mata kepada 742.14.- BERNAMA