Bursa Malaysia berpotensi uji paras 1,770 menjelang musim laporan prestasi kewangan syarikat

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 22 Februari -Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan, menguji paras 1,770 berikutan penyertaan pelabur yang lebih aktif menjelang musim pelaporan prestasi kewangan syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur lebih aktif menjelang musim laporan kewangan, menjadi pendorong utama pergerakan pasaran.
  • Prestasi kewangan syarikat bakal menjadi penanda aras daya tahan pendapatan indeks.
  • Sektor perbankan kekal kukuh, mendapat manfaat daripada persekitaran makro kewangan yang menyokong.
  • Pasaran dijangka mendatar sambil menyerap kenaikan, dengan aktiviti pengambilan untung dalam saham mewah.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, prestasi kewangan syarikat yang akan diumumkan dijangka menjadi penanda aras penting terhadap daya tahan pendapatan pada peringkat indeks.

Ia bakal menguatkan lagi kedudukan sektor perbankan sebagai segmen paling kukuh dari segi struktur menjelang separuh pertama 2026.

“Pada asasnya, sektor perbankan Malaysia terus menerima manfaat daripada persekitaran makro- kewangan yang menyokong.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 6.3 peratus pada suku keempat 2025 manakala inflasi kekal sederhana, menawarkan persekitaran ekonomi yang stabil untuk pengantaraan kredit,” katanya.

Jelasnya, perhatian pelabur akan beralih kepada pengumuman mengenai data keyakinan pengguna (AS) pada Selasa.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran dijangka terus diniagakan mendatar dan pada masa sama menyerap kenaikan sebelum ini.

Beliau berkata aktiviti pengambilan untung dalam saham mewah utama dijangka berterusan dalam masa terdekat.

Berdasarkan perbandingan asas mingguan, FBM KLCI meningkat 13.29 mata kepada 1,752.83 daripada 1,739.54 pada Jumaat sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.88 bilion unit bernilai RM6.53 bilion daripada 12.87 bilion unit bernilai RM13.70 bilion minggu sebelumnya.