Brent diunjur kembali stabil, inflasi Malaysia dijangka kekal sederhana

Foto fail

KUALA LUMPUR, 5 Mac -Harga minyak mentah Brent dijangka kembali stabil selepas lonjakan awal yang didorong faktor geopolitik, sekali gus memastikan inflasi Malaysia pada paras sederhana serta defisit fiskal kekal pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga Brent dijangka kembali stabil selepas lonjakan geopolitik, menenangkan tekanan inflasi domestik.
  • Kenaikan Brent bagi setiap AS$10 setong hanya meningkatkan inflasi sekitar 0.1 mata peratusan, inflasi 2026 dijangka sederhana.
  • Defisit fiskal dijangka kekal sekitar 3.5% KDNK, dengan hasil petroleum meningkat tetapi subsidi bahan api juga naik.

Menurut Apex Securities Bhd, impak inflasi dijangka kekal terhad, dengan setiap kenaikan Brent AS$10 setong dianggarkan meningkatkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan, membolehkan inflasi 2026 kekal dalam julat 1.6 hingga 1.9 peratus.

Firma itu dalam nota penyelidikannya berkata pasaran minyak kembali tenang susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa.

Trump berhasrat menyediakan jaminan insurans serta pengiring tentera laut bagi memastikan laluan selamat kapal tangki minyak dan kapal lain melalui Selat Hormuz.

Setakat hari ini, harga minyak mentah Brent diniagakan sekitar julat lebih AS$83 sehingga menghampiri AS$85 setong.

Apex berkata had harga bahan api RON95 sebanyak RM1.99 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak turut dijangka mengehadkan pemindahan kenaikan kos kepada harga domestik.

Daripada perspektif fiskal, harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan hasil berkaitan petroleum, namun pada masa sama turut menambah kos subsidi.

“Anggaran kami menunjukkan setiap kenaikan Brent AS$10 setong akan meningkatkan hasil kerajaan sekitar RM3 bilion, dengan peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api kira-kira RM3.5 bilion, menyebabkan kesan fiskal bersih yang sederhana.

”Secara keseluruhan, kami menjangkakan kerajaan kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK bagi 2026,” katanya.

Tambahnya, walaupun berdepan ketegangan geopolitik, permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dalam fasa pertumbuhan teknologi yang dipacu kecerdasan buatan (AI) dijangka terus menyokong pertumbuhan sektor luaran.

Apex turut mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 4.7 peratus, berbanding 5.3 peratus pada 2025, disokong peningkatan ketibaan pelancong di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sokongan dasar berterusan kepada isi rumah berpendapatan rendah serta pelaburan kukuh didorong pengembangan pusat data.