ANGKASA dalam proses akhir beli ekuiti bank digital

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah

PETALING JAYA, 24 Januari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kini dalam proses akhir rundingan bagi melaksanakan pembelian ekuiti dalam bank digital tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • ANGKASA dalam proses akhir rundingan untuk membeli ekuiti bank digital tempatan.
  • BNM beri kelulusan pelaburan sehingga RM200 juta untuk memperkukuh ekosistem koperasi.
  • Perlu kebenaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebelum meneruskan pelaburan.
  • Proses kelulusan berjalan; pembelian akan diteruskan selepas mendapat kelulusan penuh.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menjelaskan, Bank Negara (BNM) telah memberi kelulusan untuk pelaburan sehingga RM200 juta itu sebagai usaha memperkukuh ekosistem koperasi agar selari dengan landskap kewangan digital negara.

“Kita telah memperoleh kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan kini berada dalam proses perundingan, termasuk mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Ini kerana setiap pelaburan atau penglibatan ANGKASA dalam bidang perniagaan memerlukan kelulusan suruhanjaya berkenaan.

“Proses kelulusan sedang berjalan dan sebaik sahaja diluluskan, kita akan mengambil tindakan seterusnya untuk meneruskan pembelian,” katanya dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dan Anugerah Pelajar Cemerlang Pendidikan Boleh Ubah Yayasan Angkasa Sesi 2025/2026 di sini.

Seramai 197 pelajar menerima pembiayaan pendidikan bagi sesi berkenaan melibatkan peruntukan RM2.576 juta. Sejak tahun 2000, seramai 2,095 pelajar terima manfaat pembiayaan Yayasan ANGKASA dengan nilai pembiayaan mencecah lebih RM37.5 juta.