AirAsia X laras strategi, fokus kawal kos dan kekalkan permintaan

AirAsia X mengambil langkah proaktif berdepan kos semasa/Foto Bernama

SEPANG, 6 AprilAirAsia X bakal mengambil langkah yang lebih proaktif bagi berdepan tekanan kos semasa, khususnya peningkatan harga bahan api yang memberi kesan kepada operasi syarikat penerbangan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naikkan tambang minimal, kurangkan kapasiti pada laluan tidak menguntungkan, dan perketat kawalan kos bersama rakan strategik.
  • Memanfaatkan pengalaman krisis lalu termasuk COVID-19 untuk mengekalkan permintaan perjalanan udara.
  • Mengurangkan kira-kira 10% penerbangan susulan permintaan bermusim selepas Raya.
  • Merancang laluan Kuala Lumpur ke Bahrain dan Gatwick bermula 26 Jun 2026, menjadikan Bahrain hab global pertama.

Pengasas bersama Tony Fernandes yang juga penasihat kepada syarikat penerbangan itu berkata, antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk pengurangan kapasiti penerbangan, kawalan kos yang lebih ketat serta pelarasan kenaikan tambang secara berperingkat bagi menampung lonjakan kos bahan api.

“Terdapat tiga perkara yang boleh kami lakukan. Pertama, menaikkan tambang. Walaupun itu bukan sesuatu yang kami gemari, kami akan cuba memastikan kenaikan itu pada tahap minimum, namun ia tidak dapat dielakkan.

”Kedua, kami perlu mengurangkan kapasiti, khususnya pada laluan yang kami lihat tidak mampu menampung kos bahan api. Ini kerana harga bahan api tidak seragam, dengan ada lokasi yang mencatat harga bahan api jet sehingga AS$300, manakala purata ketika ini sekitar AS$200.

”Ketiga, kami akan mengurangkan kos. Dengan sokongan rakan strategik, langkah ini amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media AirAsia X di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A itu memaklumkan, AirAsia X akan memanfaatkan pengalaman daripada krisis terdahulu, termasuk pandemik COVID-19, bagi menghadapi cabaran semasa, termasuk mengekalkan permintaan terhadap perjalanan udara walaupun kos semakin meningkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu juga telah mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada penerbangannya, berikutan permintaan bermusim selepas tempoh puncak Hari Raya yang lalu.

“Itu salah satu sebab kerana selepas Raya, biasanya ia dianggap tempoh bukan puncak. Jadi jumlah keseluruhan penerbangan yang kami batalkan pada asasnya adalah 10 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai potensi pengurangan pekerja, beliau memberi jaminan tiada keperluan langkah itu dilaksanakan terutamanya tawaran cuti tanpa gaji secara sukarela.

Dalam masa sama, beliau berkata, penerbangan pertama ke laluan antarabangan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain juga masih dalam perancangan untuk dijadualkan bermula 26 Jun 2026, bergantung kepada situasi semasa.

Sebelum ini, AirAsia X mengumumkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke Lapangan Terbang Gatwick, London, bakal dijadualkan bermula 26 Jun 2026 sebagai langkah terbaharu usaha memperluaskan capaian global syarikat penerbangan berkenaan.

Laluan strategik itu menjadikan Bahrain sebagai hab global pertama Airasia X, sekaligus mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk utama yang menghubungan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.