
KUALA LUMPUR, 6 September – Beberapa penerbangan AirAsia melibatkan perjalanan ke dan dari Jakarta dibatalkan atau dijadualkan semula, susulan letusan berterusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia.
- Letusan Gunung Anak Krakatau menghasilkan awan abu yang menjejaskan ruang udara dan berpotensi mengancam keselamatan operasi penerbangan.
- AirAsia memaklumkan penumpang terjejas dan sedang membantu susunan perjalanan seterusnya dengan memastikan keselamatan perjalanan.
- Penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan melalui laman sesawang, akaun media sosial AirAsia atau hubungi pasukan sokongan pelanggan.
- MAHB memaklumkan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta ditutup sementara, penumpang diminta semak dengan syarikat penerbangan untuk maklumat terkini.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya memaklumkan, letusan tersebut menyebabkan pembentukan awan abu gunung berapi yang menjejaskan ruang udara dan berpotensi mengancam keselamatan operasi pesawat.
Sehubungan itu, pelarasan operasi perlu dilaksanakan membabitkan beberapa perkhidmatan terpilih terutamanya bagi laluan penerbangan yang mungkin terjejas.
“AirAsia telah memaklumkan kepada semua penumpang yang terjejas mengenai status penerbangan dan pilihan perjalanan seterusnya.
“Pihak kami juga sedang berusaha memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan dengan selamat pada penerbangan seterusnya yang tersedia,” menurut kenyataan itu.
Berikutan situasi yang masih tidak menentu, penumpang yang melakukan perjalanan dari atau ke destinasi terjejas dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan terkini menerusi laman sesawang AirAsia.
Syarikat penerbangan itu akan terus memantau aktiviti Gunung Anak Krakatau dan akan mengemas kini nasihat perjalanan dengan penyambungan semula operasinya.
Penumpang boleh menyemak status penerbangan terkini mereka melalui akaun media sosial AirAsia atau menghubungi pasukan sokongan pelanggannya untuk bantuan lanjut.
Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) ditutup sementara susulan letusan dari Gunung Anak Krakatau.
Pengendali lapangan terbang itu dalam hantaran di Facebook menasihati penumpang yang terjejas dan mempunyai penerbangan ke Jakarta supaya menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.