JOHOR BAHRU, 16 September- Inisiatif Zon Kewangan Khas di Forest City, Iskandar Puteri, Johor akan dilancarkan 20 September ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, pelbagai insentif dan pakej dijangka diperkenalkan semasa pelancarannya kelak, yang turut akan dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
"Pada Jumaat ini 20 september 2024 kita akan lancarkan Zon Kewangan Khas di Forest City di mana Menteri Kewangan II sudah pun mengesahkan kehadirannya. Kita juga akan memperkenalkan pakej dan insentif yang akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat kewangan insurans dan lain-lain,"katanya.
Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City diwujudkan dalam usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor.
Berdasarkan pelan induk Forest City yang dilancar pada 2016, matlamatnya adalah bagi membangunkan kawasan itu sebagai zon integrasi perkhidmatan penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan juga hartanah.