Zakat Selangor, MARA kerjasama perkasa pendidikan asnaf

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari (kiri) bergambar bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA Siti Aminah Abdul Kadir sebagai simbolik pertukaran dokumen perjanjian persefahaman. Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 13 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperkasakan mobiliti sosial keluarga asnaf menerusi perluasan peluang pendidikan di peringkat nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik lima tahun untuk mengenal pasti pelajar asnaf berpotensi ditempatkan di MRSM serta laluan khusus TVET dan Politeknik.
  • Inisiatif proaktif melahirkan generasi kedua asnaf produktif melalui penempatan akademik, bimbingan kemahiran dan program keusahawanan MARA.
  • Sejak 2023, LZS taja 129 pelajar asnaf ke MRSM; juga terima zakat perniagaan RM8.22 juta dan agih RM221,000 untuk kebajikan.

Kerjasama strategik berdurasi lima tahun itu bertujuan untuk mengenal pasti pelajar asnaf yang berpotensi untuk diserapkan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), selain menyediakan laluan khusus dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Politeknik.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari, menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan langkah proaktif untuk melahirkan generasi kedua asnaf yang produktif agar mereka mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dengan lebih segera.

“Pelajar asnaf yang mempunyai kecenderungan dalam bidang akademik akan ditempatkan di sekolah berasrama penuh seperti MRSM, manakala mereka yang cenderung kepada kemahiran akan dibimbing terus ke aliran TVET. Kita juga memanfaatkan kepakaran MARA untuk membimbing asnaf dalam bidang keusahawanan melalui program bimbingan sedia ada,” jelas beliau semasa majlis pertukaran dokumen tersebut di Shah Alam.

Sejak tahun 2023, seramai 129 pelajar asnaf telah menerima tajaan LZS untuk menyambung pengajian di MRSM dengan purata kemasukan seramai 23 orang setahun. Program ini turut merangkumi penyediaan kelas tambahan bagi subjek kritikal sebagai persediaan akademik pelajar sebelum melangkah ke institusi berkenaan.

Dalam majlis yang sama, Zakat Selangor turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada 38 syarikat berjumlah RM8.22 juta.

Selain itu, agihan zakat berjumlah RM221,000 telah disalurkan bagi tujuan kebajikan merangkumi projek baik pulih surau, bantuan perubatan dialisis, modal pemerkasaan usahawan, serta dermasiswa pengajian tinggi.