SELANGOR, 2 November- Universiti awam di negara ini diminta mematuhi ketetapan kerajaan yang mengehadkan yuran pendaftaran masuk tidak melebihi RM1,500, bermula Januari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sekiranya terdapat pihak universiti yang melanggar arahan berkenaan, kementerian itu akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya percaya apabila terdapat arahan dan keputusan yang sangat jelas, saya percaya universiti tidak akan melanggar keputusan itu," katanya kepada pemberita di sini.
Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula Januari tahun depan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.
Menurut Anwar, langkah itu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.