
SUNGAI PETANI, 12 Mac– Sebanyak 2,500 kampit beras diagihkan kepada warga Tentera Darat Malaysia (TDM) sempena Ramadan dalam satu majlis di sini.
- Yayasan jalankan inisiatif CSR berkongsi keuntungan untuk bantu warga emas, anak yatim, ibu tunggal, golongan asnaf dan anggota tentera.
- Bantuan diberikan dalam bentuk kewangan, makanan, dengan keutamaan untuk pendidikan, perubatan serta golongan B40 dan ke bawah.
- 2,500 kampit beras lima kilogram diagihkan kepada beberapa rejimen, markas dan unit Tentera Darat untuk mempererat hubungan dengan pendukung Askar Wataniah.
Sumbangan tersebut disalurkan oleh Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng kepada beberapa formasi TDM termasuk Rejimen 509 dan Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Markas 6 Briged, Markas 2 Divisyen, Markas 3 Divisyen dan Markas 5 Divisyen.
Sumbangan sama turut diberikan kepada Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat, Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dan Pejabat Panglima Tentera Darat.
Pengerusi yayasan berkenaan, Brigedier Jeneral (Kehormat) Tan Sri Fng Ah Seng berkata pihaknya memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta tahun ini untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan di seluruh negara.
“Yayasan Muhibah menyalurkan bantuan kepada pelbagai golongan, termasuk warga emas, anak yatim, ibu tunggal serta golongan asnaf, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau menambah bantuan yang diberikan biasanya melibatkan kewangan atau barangan keperluan dengan keutamaan diberikan kepada bidang pendidikan dan perubatan khususnya bagi golongan B40.
“Kita juga memastikan setiap perayaan diraikan semua kaum dalam suasana harmoni di samping melaksanakan tanggungjawab sosial supaya rakyat Malaysia dapat saling membantu,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Turut hadir Setiausaha Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Pulau Pinang, Lt Kol (K) Datuk Yaacob Md Saad.