(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
Datuk Seri Azalina Othman Said)
KUALA LUMPUR, 18 September- Sebanyak tujuh pertimbangan mengenai ketetapan dasar kawal selia pendanaan politik diusulkan bagi menambah baik dasar Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.
Perkara itu telah diangkat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 13 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini termasuk mewujudkan undang-undang baharu bagi mengawal selia dana politik serta pengawalseliaan dilaksana Badan Berkanun Persekutuan yang bebas dan berkecuali.
Selain itu bagi membolehkan pengawalan sumbangan politik dibuat sepanjang masa dan tidak terhad ketika pilihan raya.
"Bagi mengawal selia sumbangan politik yang diterima oleh parti politik, ahli parti politik, calon pilihan raya termasuk calon bebas dan ejen pilihan raya supaya sumbangan politik dalam apa jua bentuk daripada entiti luar negara tidak dibenarkan supaya terdapat penetapan berhubung jumlah sumbangan yang dibenarkan dan perlu diisytiharkan oleh parti atau ahli-ahli politik individu," katanya.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan berhubung penggubalan RUU Sumbangan Politik ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RMKe-12 di Dewan Rakyat.
Tambah Azalina, pihaknya turut mencadangkan agar dana yang diterima dimasukkan ke dalam akaun khas bagi sumbangan politik.
Dalam perkembangan lain, Azalina memaklumkan Kerajaan Perpaduan komited untuk meminda beberapa undang-undang termasuk melibatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Katanya, selain berhasrat melaksanakannya secara serentak agar usaha itu dapat dilaksana sebaik mungkin, ia juga sekali gus mengambil kira mekanisme pelaksanaan pindaan undang-undang yang memakan masa.
"Pandangan saya, pindaan-pindaan ini soal tata kelola, rasuah perlu kita buat serentak sebaiknya, bukan sahaja Akta Pemberi Maklumat, kalau buat satu persatu, kemungkinan akan tergendala sebab mekansime, undang-undang satu perkara kita pinda, namun pelaksanaan itu memakan masa," katanya.
Azalina menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai pelaksanaan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 di Parlimen.
(Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad)