
KUALA LUMPUR, 27 Februari – ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’, tema itu diangkat menerusi penganjuran program World #QuranHour 2026 yang bakal berlangsung pada 11 Mac ini; bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak.
- Tema "Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia" menekankan pembinaan insan sebagai fokus utama program.
- Surah Al-Muzzammil dipilih untuk menekankan kekuatan dalaman dan teladan Nabi Muhammad SAW.
- Program bertujuan memperkasa tadabbur supaya Al-Quran difahami, dihayati dan diamalkan, bukan sekadar dibaca.
- Surah itu menonjolkan tiga teras: solat malam dan tartil, ketahanan emosi, serta kelestarian dan kasih sayang.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ahmad Yani Abd Manaf berkata penganjuran kali ini menyaksikan surah ke-73 iaitu Surah Al-Muzzammil terpilih; yang memberi penekanan kepada pembinaan kekuatan dalaman dan meneladani Nabi Muhammad SAW yang cekal memperkukuh jati diri menghadapi tanggungjawab yang besar.
Beliau memaklumkan World #QuranHour 2026 yang memasuki tahun ke-11 penganjuran, merupakan kesinambungan usaha memperkasa kefahaman Al-Quran melalui tadabbur ayat dan tafsir sebagai panduan hidup masyarakat.
“Kita melihat ada kesedaran di mana satu jam berinteraksi, kempen global untuk kembali kepada Al Quran. Alhamdulillah dari penganjuran yang sebelum-sebelum ini, kita mencatatkan penyertaan daripada 73 negara dan ini menunjukkan gelombang itu sampai.
“Yang kedua, kita bukan hanya bercakap tentang di segi kuantiti, tapi sebenarnya kita lebih kepada kualiti. Kualitinya apa? Dengan kempen ini kita berharap berlaku perubahan mindset, berlaku perubahan dari segi sistem kehidupan kita.
“Kalau selama ini mungkin kita tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan sistem kehidupan, hari ini kita mulakan. Sebab inilah yang kita ada, pilihan terbaik yang kita ada yang ditinggalkan oleh Rasulullah,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Ahmad Yani berkata pendekatan tadabbur yang diterapkan menerusi program World #QuranHour seumpama ini bertujuan menjadikan Al-Quran tidak hanya dibaca, tetapi difahami, dihayati dan diamalkan.
Surah Al-Muzzammil iaitu surah ke-73 terdiri daripada 20 ayat.
Surah yang diturunkan di Mekkah (Makkiyah) ini menekankan tiga teras utama antaranya ayat 1 hingga 10 yang menyeru kepada pembinaan kekuatan dalaman melalui solat malam dan bacaan Al-Quran secara tartil;.
Manakala, ayat 11 hingga 19 pula menekankan ketahanan emosi dan mental ketika berdepan ujian; manakala ayat ke-20 menggariskan kelestarian dan kasih sayang dalam hubungan sesama manusia.