KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Wisma Putra menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan peruntukan keseluruhan RM1.2 bilion, meliputi RM982.7 juta Belanja Mengurus dan RM218.1 juta Belanja Pembangunan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan turut menghargai peruntukan RM31.5 juta bagi penyelenggaraan dan penggantian aset di kedutaan luar negara, serta peningkatan peruntukan pembangunan untuk naik taraf bangunan kerajaan.
Kementerian itu menegaskan komitmen meneruskan diplomasi proaktif dan berprinsip, serta memperkukuh perkhidmatan luar negeri yang cekap, responsif dan berintegriti sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Tahun 2026 menandakan peralihan fokus selepas tamat tempoh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan penekanan kepada pengukuhan diplomasi global dan serantau selaras aspirasi Ekonomi MADANI.