fb fb fb fb fb

Belanjawan MADANI 2026 cerminan keprihatinan kerajaan, fokus kepada rakyat semua lapisan

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 disifatkan sebagai belanjawan berteraskan rakyat, merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Ia turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui bantuan langsung, peningkatan pendapatan penjawat awam, serta reformasi undang-undang yang lebih menyeluruh.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bajet yang benar-benar menumpukan kepada keperluan rakyat.

“Kalau kita lihat kali ini memang rakyat-centric budget. Contohnya melalui STR, SARA dan juga kenaikan gaji RM500 untuk penjawat awam bawah gred 54 atau 56. Ini memang untuk rakyat, satu bajet yang baik dan banyak manfaat yang akan kita peroleh.

“Khusus untuk komuniti India, kerajaan turut memperuntukkan pembinaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jeram,” katanya.

1010 BJT REAX MP1Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, menyambut baik pendekatan reformasi yang diketengahkan dalam belanjawan berkenaan.

“Saya puas hati dengan pengumuman Perdana Menteri yang menekankan reformasi dan penambahbaikan, termasuk memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa seperti SPRM, PDRM, JKDM dan KPDN untuk mendapatkan semula wang yang hilang.

“Selain itu, pengenalan undang-undang baharu bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga satu langkah penting,” ujarnya.

1010 BJT REAX MP2Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan cukai karbon (carbon tax) yang diumumkan kerajaan.

“Saya menyambut baik langkah ini kerana banyak negara telah melaksanakannya. Sekurang-kurangnya ia meletakkan tanggungjawab kepada industri pengeluar karbon dioksida, sekali gus mewujudkan mekanisme kawalan yang lebih baik,” katanya.

1010 BJT REAX MP3Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketiga-tiga mereka ditemui seusai pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Parlimen, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE