KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Penjawat awam menyambut baik peluasan pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, khususnya bagi sektor perkhidmatan awam.
Langkah itu disifatkan mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing penjawat awam, sekali gus memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Muhammad Amir Ibrahim menyatakan rasa syukur atas pelbagai manfaat yang diumumkan kerajaan untuk penjawat awam.
"Alhamdulillah, setakat ini apa yang dibentangkan tadi mendapat maklum balas yang baik. Saya sebagai penjawat awam rasa bersyukur dengan segala kebaikan yang ditambah.
"Ia termasuk bonus dan kemudahan yang diberikan. Ia mendorong saya untuk lebih komited memberikan perkhidmatan kepada negara selepas ini," katanya.
Bagi Hazim Syahmi Sajali penambahan peruntukan kepada sektor pendidikan sebanyak RM66.2 bilion, berbanding RM64.2 bilion tahun lalu, disifatkan sebagai langkah tepat ke arah memperkukuh sistem pendidikan negara.
"Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri sebentar tadi, banyak perkara menarik perhatian saya selaku penjawat awam dan pendidik.
"Pertama, penambahan peruntukan kepada sektor pendidikan dapat membantu meningkatkan mutu sekolah-sekolah daif. Kedua, peluasan program Sekolah Angkat MADANI turut memberi banyak manfaat kepada pihak sekolah," katanya.
Pada masa sama, peruntukan RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang menumpukan kepada usaha pendigitalan perkhidmatan awam turut disambut baik.
"Pendigitalan memberi manfaat besar kepada rakyat kerana ia lebih mudah dan efisien. Tak perlu lagi beratur panjang kerana semuanya boleh dilakukan secara dalam talian. Langkah ini menjimatkan kos dan turut memudahkan rakyat luar bandar," jelas Nur Idayu Kassim.
Antara insentif yang diumumkan kerajaan termasuk Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.
Sementara itu, pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima RM250.
Selain itu, penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa turut akan menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM900 sebulan.