KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat menjadi teras utama Belanjawan 2026, sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap peruntukan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Muhamad Fuad Abdul Karim berkata, setiap sen peruntukan kali ini dilihat penuh makna dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
"Kesinambungan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan tambahan RM100 kepada semua rakyat dewasa membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.
"Pekerja gig dan golongan bebas turut diberikan perhatian apabila caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan, manakala pelepasan cukai diperluaskan untuk ibu bapa, penjagaan anak serta perlindungan takaful dan insurans," katanya ketika dihubungi RTM.
Langkah itu mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap kebajikan keluarga, yang menjadi asas kepada pembangunan negara sejahtera dan bahagia.
Sektor kesihatan turut menerima perhatian besar apabila peruntukan meningkat kepada RM46.5 bilion, termasuk kenaikan elaun tugas atas panggilan petugas kesihatan serta baik pulih hospital di seluruh negara.
"Kalau kita lihat, sektor kesihatan ini antara perkara paling penting yang mencerminkan kesejahteraan rakyat dari sudut kesihatan. Inilah roh sebenar Kerajaan MADANI, bukan hanya membina ekonomi, tetapi membina manusia dan masyarakat dengan rasa empati, tanggungjawab dan keadilan sosial," katanya.
Walaupun ada pihak melihat belanjawan ini tidak sempurna, hakikatnya inilah perjuangan paling hampir dengan makna kesempurnaan, iaitu perjuangan untuk memenuhi aspirasi rakyat hari ini.
"Insya-Allah, apabila kita terus memperhalusi Belanjawan 2026, kita akan melihat manfaat sebenar yang ingin disampaikan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.