KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan menetapkan sasaran 47 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan RM329 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). Usaha ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha pelancongan, komuniti desa serta rakyat secara keseluruhan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta untuk promosi dan penganjuran acara serta RM50 juta lagi bagi menyokong penggiat seni dan warisan.
Selain itu, RM25 juta disalurkan bagi pemuliharaan tapak pelancongan UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu, Lembah Lenggong dan FRIM Forest Park, manakala RM20 juta diperuntukkan untuk memperkukuh pelancongan kesihatan dan RM50 juta bagi geran padanan penerbangan antarabangsa.
Pulau Langkawi kekal sebagai destinasi utama dengan pembangunan produk geopelancongan baharu seperti Kilim Geoforest Park dan geotrail Gua Selat Panchor.
Kerajaan turut memperkenalkan insentif cukai khas kepada pengusaha pelancongan dan kebudayaan, termasuk potongan cukai sehingga RM500,000, pengecualian 100% cukai pendapatan untuk syarikat pelancongan dan acara antarabangsa, serta pelepasan cukai individu RM1,000 bagi rakyat yang melancong dalam negara,
Selain itu, inisiatif “Warisan KL” digerakkan bagi memulihara bangunan bersejarah seperti Carcosa Seri Negara dan Bangunan Sultan Abdul Samad dengan pelaburan RM600 juta oleh Khazanah Nasional.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula memperuntukkan RM500 juta untuk menaik taraf pusat penjaja dan perumahan rakyat, manakala RM60 juta disediakan bagi membaik pulih pasar awam di seluruh negara. MARA turut memperuntukkan RM50 juta bagi menaik taraf 363 premis perniagaan yang memanfaatkan lebih 7,000 usahawan tempatan.