fb fb fb fb fb

Wisma Putra sahkan dua pelajar Malaysia terkorban dalam insiden di New Zealand

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Kementerian Luar mengesahkan dua pelajar Malaysia terkorban dalam insiden kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand, hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga lagi pelajar Malaysia yang turut terbabit dalam kemalangan sama, sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

Kementerian Luar, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand, ingin mengesahkan insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan lima pelajar Malaysia di Lake Tekapo pada 30 Mac 2024, pukul 1.45 petang waktu tempatan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

Pihaknya juga sedia membantu sekiranya waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

Kementerian Luar turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Difahamkan, dua mangsa yang terkorban itu ialah pelajar dari University of Canterbury iaitu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa.

Sementara tiga yang lain ialah Nur Firas Wafiyyah (University of Canterbury), Muhamad Faris Mohd Fairusham (Victoria University of Wellington) dan Lya Issable Anak Walton (University of Canterbury).

Terdahulu, media tempatan New Zealand melaporkan insiden kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal, berlaku di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM