
LANGKAWI, 1 Mac -Keberanian dan kecekapan adik Faris Danish Zulfadli, 12 tahun, yang menyelamatkan rakannya daripada lemas di Pantai Pasir Hitam pada Februari lepas menerima pengiktirafan daripada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
- Keberanian Faris menyelamatkan rakan dengan CPR mencerminkan prinsip kemanusiaan BSMM dalam menyelamat nyawa.
- Pengiktirafan BSMM oleh Tunku Puteri Intan Safinaz menonjolkan nilai pendidikan pertolongan cemas di sekolah.
- Kes ini membuktikan kepentingan latihan CPR bagi pelajar dan keyakinan mereka membantu orang lain.
Pengiktirafan tersebut disampaikan sendiri oleh Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Temenggung Kedah merangkap Pengerusi Kebangsaan BSMM, dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad.
Faris turut menerima sijil penghargaan dan saguhati atas keberaniannya.
Menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, tindakan Faris mencerminkan misi kemanusiaan BSMM dalam menyebarluaskan kemahiran CPR sebagai bantuan awal menyelamatkan nyawa.
“Ini adalah kes pertama di mana seorang penuntut sekolah dapat menggunakan CPR untuk membantu menyelamatkan rakan beliau. Ia satu tindakan luar biasa dan membanggakan, sekali gus memenuhi prinsip kemanusiaan sejagat,” titah baginda.
Sementara itu, Faris yang juga atlet pelayaran serta Ketua BSMM sekolah berkenaan berkata, beliau bersyukur rakannya kini selamat dan telah keluar dari hospital.
“Saya rasa gembira dengan penghargaan ini dan bangga kerana dapat membantu kawan saya. Saya juga lebih yakin untuk menggunakan ilmu pertolongan cemas bagi membantu orang lain pada masa akan datang,” katanya.
Tindakan berani Faris bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah membuktikan kepentingan pendidikan pertolongan cemas dalam kalangan pelajar sekolah.
Pada kejadian yang berlaku 14 Februari lalu, Faris bertindak terjun ke laut selepas mendapati rakannya, Iskandar Zulhaqem Zulkifli, 10 tahun, lemas dan hampir tenggelam.