WCEHB catat prestasi kewangan memberangsangkan

Foto WCE

KLANG, 28 Februari WCE Holdings Berhad (WCEHB) mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (TK2026), didorong rekod hasil kutipan tol serta momentum operasi yang kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan hasil keseluruhan 127 peratus kepada RM705.5 juta bagi tempoh sembilan bulan TK2026.
  • Hasil kutipan tol naik kuat: suku ketiga RM45.9 juta, sembilan bulan RM132.0 juta, pertumbuhan 41-49 peratus.
  • Pendapatan EBITDA meningkat 17 peratus kepada RM94.0 juta, disokong oleh aktiviti pembinaan yang rancak.

Bagi tempoh sembilan bulan, kumpulan itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak 127 peratus kepada RM705.5 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi tersebut disokong kemajuan pembinaan yang mantap serta pertumbuhan jumlah trafik. Hasil kutipan tol bagi suku ketiga meningkat 41 peratus, dengan Disember 2025 mencatatkan rekod kutipan bulanan tertinggi baharu sebanyak RM16.4 juta.

Pendapatan sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) turut mencatat pertumbuhan 17 peratus kepada RM94.0 juta bagi tempoh 9M TK2026 berbanding tahun ke tahun.
Bagi suku semasa, WCEHB merekodkan hasil sebanyak RM157.3 juta, meningkat 87 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

Hasil kutipan tol terus menunjukkan trajektori pertumbuhan positif, mencecah RM45.9 juta bagi suku ketiga TK2026 dan RM132.0 juta bagi tempoh sembilan bulan, masing-masing meningkat 41 peratus dan 49 peratus.

Pertumbuhan tersebut dipacu peningkatan jumlah trafik susulan pembukaan Seksyen 1 dan Seksyen 2 lebuh raya berkenaan. Dalam pada itu, hasil pembinaan bawah segmen konsesi melonjak 151 peratus bagi suku ketiga dan 162 peratus bagi tempoh sembilan bulan, disumbangkan peningkatan aktiviti pembinaan di Seksyen 3 dan Seksyen 7 serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Anak syarikat pembinaan kumpulan itu, WCE Maju Sdn. Bhd., turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 25 peratus kepada RM18.1 juta bagi suku ketiga dan melonjak 134 peratus kepada RM88.1 juta bagi tempoh sama.

Prestasi tersebut didorong aktiviti pembinaan yang lebih rancak di Seksyen 7B serta projek R&R bawah Projek WCE.