
KUALA LUMPUR, 24 Mac– Penyakit tuberkulosis (Tibi) kekal menjadi antara isu kesihatan awam yang signifikan di Malaysia, terutamanya ketika aktiviti kunjung-mengunjung meningkat pada musim perayaan.
- Batuk berlarutan lebih dua minggu, demam lama, berpeluh malam, susut berat atau batuk berdarah adalah tanda jangkitan Tibi.
- Pesakit Tibi boleh menjangkiti satu hingga empat orang, lebih mudah di ruang tertutup dengan pengudaraan lemah.
- Golongan berisiko termasuk pesakit diabetes, perokok, warga emas, imuniti rendah dan kontak rapat perlu lebih peka.
- Pengesanan dan rawatan segera penting untuk pemulihan pesakit dan melindungi keluarga serta masyarakat daripada rantaian jangkitan.
Pakar Perunding Respiratori daripada Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Dr. Aisya Natasya Musa berkata, walaupun negara mempunyai sistem kesihatan yang kukuh merangkumi saringan X-ray dan pengesanan kontak, risiko penularan tetap tinggi sekiranya langkah berjaga-jaga diabaikan.
“Ramai yang menganggap batuk sebagai gejala biasa, namun jika ia berlarutan lebih dua minggu atau disertai demam berpanjangan, berpeluh pada waktu malam, susut berat badan mahupun batuk berdarah, itu merupakan petanda jangkitan Tibi.”
“Golongan berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, perokok, warga emas, individu dengan imuniti rendah atau mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Tibi perlu lebih peka terhadap perubahan kesihatan ini,” jelasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Menurut Dr. Aisya, seorang pesakit Tibi berupaya menjangkiti antara satu hingga empat individu lain bergantung kepada faktor persekitaran, terutamanya di ruang tertutup yang mempunyai sistem pengudaraan yang lemah.
“Dalam keadaan sesak, pendedahan singkat seperti ketika menghadiri rumah terbuka atau kunjungan raya secara berkumpulan sudah memadai untuk meningkatkan risiko jangkitan,” tambahnya.
Justeru, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak berlengah untuk mendapatkan rawatan segera.
Tegasnya, pengesanan awal bukan sahaja membantu proses pemulihan pesakit, malah menjadi benteng utama dalam melindungi ahli keluarga dan masyarakat daripada rantaian jangkitan.