MANJUNG, 13 Disember- Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dengan aktiviti laut terutama ketika beriadah di pantai susulan penemuan seekor buaya di Jeti Vale, Teluk Rubiah, Lumut yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Manjung, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hasbullah Abdul Rahman berkata operasi mengesan haiwan berkenaan telah dijalankan oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sejak awal pagi tadi.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kewujudan reptilia itu pada 11.11 pagi tadi.
Pengadu memaklumkan kelibat seekor buaya telah dilihat pada pukul 12.45 tengahari semalam dan video kejadian dirakam bagi memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai.
"Maklumat kejadian telah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak bersama Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menjalankan operasi untuk kesan reptilia tersebut bermula awal pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh hubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau talian hotline WhatsApp 017-6828005.