PUTRAJAYA, 27 Januari- Orang ramai diingatkan berwaspada dengan panggilan mencurigakan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC berkata modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa dengan mengancam menyatakan terdapat aduan terhadap talian digunakan dan mendakwa mangsa telah melakukan kesalahan.
Sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian mereka akan disekat atau disenarai hitam.
"Bermula 1 hingga 25 Januari 2024, MCMC telah menerima sejumlah 259 aduan dan daripada jumlah tersebut, 238 panggilan pertanyaan telah diterima bagi mengesahkan isu berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tegas MCMC, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan suruhanjaya itu lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang atau platform media sosial miliknya dan pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat perbankan peribadi individu.
Justeru, MCMC menasihatkan orang orang ramai supaya berwaspada dan mendapatkan pengesahan sewajarnya serta jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali dan jangan memindahkan wang kepada akaun yang diragui.
Selain itu, orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS (khidmat pesanan ringkas) ke talian telefon yang dimiliki.
Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat dan mengemukakan aduan berhubung penipuan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian Hotline 997 yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam untuk tindakan lanjut.