fb fb fb fb fb

Warga emas maut motosikal bertembung pacuan empat roda

FOTO RTM

BALING, 4 JANUARI-Seorang lelaki warga emas maut, manakala cucunya cedera selepas motosikal yang dinaiki merempuh sebuah pacuan empat roda.

Kejadian berlaku di Jalan Kuala Pegang/Parit Panjang, Baling kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian, kenderaan jenis 'pickup' dalam perjalanan dari arah Kuala Pegang menghala ke Parit Panjang.

Manakala mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61 tahun bersama cucunya, Nur Damia Qaisara Norazlimi, 9 tahun, yang menaiki sebuah motorsikal dari arah Hospital Baling menghala ke Sik.

“Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di Kampung mengkuang Masjid, kereta dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun telah membelok masuk ke kanan iaitu ke Stesen Minyak Buraqoil.

"Setelah itu, mangsa yang mengekori dari belakang tidak lepas memotong kereta yang ketika itu sedang membelok masuk ke stesen minyak yang berada di sebelah kanan jalan dan terlanggar di bahagian sisi sebelah kanan kenderaan di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang berasal dari Kampung Lela, Kuala Pegang mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Manakala pembonceng iaitu cucunya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD