KOTA BHARU, 16 Disember- Seorang wanita warga emas bertindak terjun ke Sungai Kelantan di sini, petang tadi berjaya diselamatkan orang awam.
Komander Operasi Pegawai Kanan Bomba II, Ramli Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 2.57 petang mengatakan seorang wanita warga emas berbangsa Cina terjun ke dalam sungai dekat Lembah Sireh.
Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim dikejarkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
"Ketika sampai ke lokasi kejadian, didapati seorang perempuan warga emas berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
"Warga emas berusia lingkungan 75 hingga 80 tahun itu dikatakan turun ke sungai terletak berdekatan sebuah pasar raya namun diselamatkan orang awam yang berada di situ dan dibawa ke tebing," kata Ramli.
Menurut Ramli, beliau menghubungi Jabatan Kesihatan Kelantan dan pihak polis untuk tindakan lanjut.