fb fb fb fb fb

Wanita warga emas dikejutkan dua ekor ular tedung belakang mesin basuh

(Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua ekor ular berkenaan diadapati berada di belakang sebuah mesin basuh)

SIK, 28 Januari- Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila didatangi dua ekor ular tedung senduk sami.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Kalai, Mukim Jeneri di Sik, Kedah.

Pengarah Pasukan Bomba dan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid berkata empat anggota briged diketuainya dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa.

Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua ekor ular berkenaan diadapati berada di belakang sebuah mesin basuh.

"Dengan menggunakan peralatan khas, kedua-dua ekor ular yang dipercayai sedang mengawan itu berjaya ditangkap dalam tempoh 10 minit," kata Mahadzir

Ular berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan di sebuah surau di perumahan KEDA Sungai Semiar, 39 jemaah bertempiaran lari gara-gara kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang 15 kaki.

Hasil kecekapan dan kepantasan anggota BSYJM, ular berkenaan yang bersembunyi di bawah meja di dalam surau berjaya ditangkap.

Mahadzir menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan menghubungi pihak berkuasa sekiranya menemui haiwan berbisa berkenaan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan menangkap sendiri ular yang dijumpai bagi mengelak risiko membahayakan diri.

(Wanita warga emas dikejutkan dua ekor ular tedung belakang mesin basuh)

Media Baharu