fb fb fb fb fb

Wanita rakyat Malaysia gagal dihubungi di Aceh disahkan selamat - Wisma Putra

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi di Aceh sejak 27 November lalu disahkan selamat.

Wisma Putra menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dalam satu kenyataan memaklumkan, wanita berkenaan telah pulang ke Malaysia semalam.

Perkara itu disahkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada keluarganya.

"Pada masa ini, tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia yang hilang atau terjejas susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara," menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut memaklumkan operasi SAR bagi mengesan rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang kini memasuki hari ke-15.

"Usaha mencari masih diteruskan, dan Konsulat Jeneral terus memberikan bantuan konsular kepada keluarga yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia." jelasnya.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dinasihatkan agar supaya berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.

Selain itu, mereka diminta mendaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat serta mengekalkan komunikasi dengan keluarga masing-masing.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN