fb fb fb fb fb

Pembinaan SJKT Sungai Bakap selepas isu tanah selesai

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (duduk, tengah) bergambar pada Majlis Penyerahan Peralatan ICT (Smart Board) kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Vivekananda Brickfields hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (duduk, tiga, kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (duduk, tiga, kanan)/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, hanya akan dimulakan selepas selesai kes di mahkamah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, memaklumkan kerajaan telah menyediakan peruntukan untuk projek berkenaan, namun pelaksanaannya masih tertangguh akibat beberapa isu berkaitan tanah dan hutang yang belum diselesaikan.

“Kerajaan telah menyediakan dana dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha menyelesaikan kes mahkamah yang sedia ada secepat mungkin. Pada masa sama, kita akan melaksanakan proses tender secepat mungkin supaya kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran dan Penyerahan Peralatan ICT (Smartboard) di SKJT Vivekananda, Brickfields.

Hampir 400 papan pintar telah diserahkan kepada 387 SJKT di seluruh negara dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.

Dalam perkembangan lain, KPM juga bersetuju membina SJKT Ladang Jeram di Kuantan, Pahang.
Lokasi sekolah tersebut telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi SJKT Ladang Jeram, lokasi sekolah ini telahpun mendapat kelulusan Perdana Menteri, dalam Belanjawan 2026. Sekolah ini akan dibina sepenuhnya oleh kerajaan dan dimasukkan dalam ‘rolling plan’ lima tahun Rancangan Malaysia ke-13,” katanya.

Dalam tempoh dua tahun lalu, KPM telah secara berperingkat menyelesaikan isu-isu tertunda yang melibatkan SJKT, termasuk beberapa pemindahan lokasi sekolah serta pembukaan sekolah baharu pada 2024.

"Tahun ini, proses pemindahan lokasi bagi SJKT Sungai Reyla di Sungai Siput juga telah dijalankan. Kesemua langkah ini menunjukkan komitmen KPM dan kerajaan MADANI dalam memastikan kelangsungan pendidikan bagi semua aliran sekolah di negara ini," tambahnya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI