fb fb fb fb fb

Wanita PKR lancar Sistem ASAK, perkasa pengurusan dan tadbir urus secara digital

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek (tengah) melancarkan Sistem ASAK di sini, hari ini.

SHAH ALAM, 2 Mac- Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) diperkenalkan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memperkasakan pengurusan dan tadbir urus cabang wanita parti itu secara digital.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata sistem ASAK merupakan sebuah laman rasmi tertutup yang dibangunkan bagi mengatasi isu-isu berbangkit antaranya penyelarasan pengurusan keahlian dan dokumentasi di peringkat negeri dan pusat.

"Penggunaan sistem asal ini sepenuhnya untuk membantu menguatkan parti khususnya dalam sosial pentadbiran parti, keahlian. Kemudian yang akan membawa kepada menyuarat agong dan kongres.

"Kita harap program ini benar-benar dapat mencapai maksud dan hasrat kita khususnya dalam konteks menyambut hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan pembudayaan digital dalam kalangan masyarakat dan kita bermula dengan parti dan Wanita PKR," katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Sistem ASAK di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Wanita Pusat bagi Sayap Wanita Keadilan (PKR), Loh Ker Chean berkata fasa dua pelaksanaan Sistem ASAK akan melibatkan ciri analisis data berkaitan demografi anggota wanitanya di setiap kawasan untuk memudahkan urusan pemberian bantuan.

Sistem ASAK yang merangkumi komponen maklumat, pengurusan surat menyurat, organisasi, mesyuarat dan takwim akan memantapkan dan menyeragamkan tadbir urus Wanita PKR dari peringkat kepimpinan pusat hingga ranting.

Katanya, Wanita PKR melalui Sukarelawan ASAK juga akan turun ke negeri-negeri bagi siri jelajah dan latihan yang akan dilaksanakan pada April sehingga Julai tahun ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI